Menarik : 10 Pulau Mesti Anda Kunjungi Tahun 2013 !

July 22, 2013


1. Pulau Mataking, Sabah

Pulau Mataking terletak di lautan Sulawesi . Perjalanan mengambil masa 40 minit dari Semporna dan 45 minit dari Sipadan. Digelar tempat peranginan kelas atasan, Pulau Mataking merupakan 'syurga' bagi penggemar selam skuba. Bersiar-siar di sekitar Pulau Mataking Kecil merupakan aktiviti wajib di sini! Untuk ke sini, perjalanan hanya mengambil masa 20 minit dari pulau induk. Terdapat 30 kawasan menyelam. Antara yang paling terkenal adalah Magic Rick, Mantis Reef, dan Alice Wall. Pemandangan indah Pulau Mataking mampu dinikmati dari menara pemerhati. Cadangan LIBUR, alami percutian romantik The Reef Dive Resort, menyelam skuba dan urutan spa istimewa jika bertandang ke sini.



2. Pulau Layang-Layang, Labuan

Pulau Layang-Layang mempunyai daya tarikan yang kuat dan sering diperkatakan kerana kecantikan terumbu karang di perairannya. Pulau yang terletak di barat laut Sabah ini adalah antara destinasi selam skuba paling terkenal di dunia. Pulau Layang-Layang terletak kira-kira 300 kilometer dari Kota Kinabalu hanya memakan masa selama kira-kira satu jam menaiki pesawat yang menganjurkan pakej pelancongan. Dengan bentuk memanjang dan dikelilingi lautan yang jernih dan ditumbuhi rumput laut, pulau ini kelihatan seperti mutiara terapung di tengah laut. Layang-Layang Resort adalah satu-satunya resort yang terdapat di sini. Kemudahan asas dan aktiviti yang ditawarkan pihak resort menjadikan Pulau Layang-Layang pilihan utama pengunjung yang ingin merancang satu percutian hebat.




3. Pulau Pom-Pom, Semporna

Selain pasir memutih yang menghiasi lantai pantai indah, Pulau Pom Pom turut diminati kerana hutan bakaunya yang membuatkan keadaan sentiasa dingin dan teduh. Pulau ini yang terletak kira-kira 45 minit dari Semporna juga menjanjikan pemandangan dasar laut yang indah kerana airnya yang jernih dan dikatakan 'syurga' bagi penggemar selam skuba. Perjalanan dari Tawau ke Semporna mengambil masa kira-kira satu jam dengan pengangkutan darat manakala perjalanan menaiki bot laju ke Pulau Pom-Pom mengambil masa 45 minit. Pom Pom Island Resort merupakan inapan yang ditawarkan dengan kemudahan asas cukup selesa. Pastikan anda mencuba khidmat urutan yang ditawarkan di sini.




4. Pulau Lankayan, Sabah

Terletak di sebelah utara barat lautan Sulu di Sandakan Sabah, Pulau Lankayan tidaklah begitu besar. Bahkan, ia cuma mengambil masa lebih kurang 10 minit berjalan kaki mengelilingi pulau. Keindahan batu karang di Pulau Lankayan dikelilingi hidupan marin seperti ikan yu, ikan pari dan ikan-ikan yang jarang ditemui di tempat lain. Pulau Lankayan juga menjalankan satu usaha memulihara penyu-penyu yang semakin pupus dengan mewujudkan sangkar-sangkar telur penyu yang ditinggalkan di pulau tersebut. Lankayan Island Dive Resort merupakan satu-satunya chalet penginapan yang ada di Pulau Lankayan. Resort yang cukup terkenal di kalangan penyelam suba ini memiliki 24 buah chalet pelbagai saiz yang lengkap dengan kemudahan asas.



5. Pulau Gemia, Terengganu

Pulau Gemia atau lebih dikenali sebagai 'Gem Island' adalah pulau persendirian yang terletak kira-kira 800 meter dari Pulau Kapas. Biarpun tidak begitu dikenali berbanding pulau-pulau lain di Terengganu, Pulau Gem mempunyai banyak keistimewaannya. Pulau Gem juga boleh dianggap pulau yang terindah di Pantai Timur. Dari Lapangan Terbang Kuala Terengganu akan mengambil masa 30 minit dengan menaiki kereta untuk sampai ke Jeti Marang manakala 10 minit masa perjalanan menggunakan bot untuk sampai ke pulau ini. Gem Island Resort & Spa merupakan resort pilihan yang cukup selesa buat pelancong. Harga yang ditawarkan juga amat berpatutan, bersesuaian dengan pakej dan aktiviti yang ditawarkan di sana.



6. Pulau Perhentian Besar, Terengganu

Terletak dalam daerah Besut di Terengganu yang jaraknya kira-kira setengah jam menaiki bot laju dari Jeti Kuala Besut, Pulau Perhentian Besar sering menjadi pilihan pelancong yang inginkan privasi. Pulau ini masih terpelihara kerana sebahagian besar kawasannya tidak berpenghuni dan dibangunkan bagi memelihara kecantikan flora dan fauna di pulau ini. Terdapat dua kawasan yang terkenal di sini iaitu Teluk Dalam dan juga Pantai Utama yang terletak di sebelah barat pantai ini. Perairan di sekitar pulau ini ditaburi terumbu karang dan menawarkan pemandangan bawah laut yang hebat untuk aktiviti selam skuba dan snokerling. Lawatan bot ke pulau-pulau juga boleh diaturkan dengan bot sewa. Perhentian Island Resort, Tuna Bay Island Resort dan Samudra Beach Chalet adalah antara inapan pilihan bagi percutian keluarga.


7. Pulau Dinawan, Sabah

Pulau persendirian yang terletak di selatan Kota Kinabalu ini menawarkan hutan hujan tropika yang indah di kelilingi oleh Laut China Selatan. Mengambil masa kira-kira 25 minit menaiki bot laju melalui Jeti Marina Sutera di mana 6km daripada Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) dan 12km daripada pusat Bandar Kota Kinabalu. Airnya yang jernih sesuai bagi pengunjung yang ingin melalui pengalaman menerokai ekosistem laut. Istimewa di sini, pengunjung boleh menikmati pengalaman unik 'separuh kapal selam' untuk melihat landskap dasar laut yang cukup mengagumkan.



8. Pulau Kapalai, Sabah 

Digelar syurga peminat sukan skuba, Pulai Kapalai terletak di antara Pulau Sipadan dan Pulau Mabul. Perjalanan ke sini mengambil masa 15 minit menaiki bot daripada Pulau Sipadan dan 40 minit dari Tawau dan Semporna dengan menaiki bot laju. Pulau ini dianggap cukup unik kerana tidak mempunyai daratan. Semuanya berada di atas air. Sipadan-Kapalai Dive Resort adalah antara penginapan yang terdapat di sini. Resort yang dikelilingi air laut yang bersih dan jernih ini mempunyai kekayaan hidupan laut yang menakjubkan. Istimewa di sini, apabila anda berpeluang melihat penyu yang aktif di waktu malam. Cukup menarik!




9. Pulau Tiga, Sabah

Pulau Tiga merupakan pulau terbesar daripada tiga pulau iaitu Pulau Tiga, Pulau Kalampunian Besar dan Pulau Kalampunian Damit. Taman Pulau Tiga terletak di Teluk Kimanis di Pantai Barat Sabah kira-kira 48 kilometer dari Kota Kinabalu. Mempunyai landskap yang indah dan alam semula jadi yang belum terusik, Pulau Tiga juga dikenali sebagai Survivor Island kerana menjadi lokasi utama program TV popular 'Survivor' pada tahun 1999. Terdapat 130 spesies ikan yang dikenal pasti di taman ini. Masa terbaik untuk menyelam adalah dari bulan Mac hingga Oktober. Untuk menaiki bot ke pulau ini dengan jarak sejauh 18 kilometer, ia mengambil masa 45 minit perjalanan. Beberapa agen pelancongan juga menganjurkan perjalanan dan perkhidmatan feri untuk ke Pulau Tiga.




10. Taman Negara Pulau Penyu, Sandakan

Taman Negara pulau Penyu terletak 40 kilometer dari Sandakan, Sabah. Terdiri daripada tiga buah pulau iaitu Selingan, Bakkungan Kecil dan Gulisan, ia dikelilingi oleh terumbu karang dan laut. Cukup terkenal dengan Penyu Pulau (Green Turtles) dan Penyu Karah/Penyu Sisik (Hawksbill Turtles) yang datang bertelur di pantai pulau ini. Hanya di Pulau Selingan terdapat chalet bagi pengunjung yang ingin bermalam bagi menyaksikan penyu bertelur. Mengambil masa sejam untuk tiba menaiki bot dari Sandakan ke Pulau Selingan, pengunjung berpeluang belajar mengenai pemulihan penyu dari pengumpulan telur ke proses inkubasi hingga ke proses penetasan sebelum dilepaskan di laut. Bulan Mac dan September merupakan bulan yang paling sesuai untuk mengunjungi Taman Negara Pulau Penyu.


 

©Copyright 2011 Kecoh Bebenor | TNB