Info : Mapim Tangani Wang Hantaran Tinggi !

October 02, 2013

Mapim Minta Kerajaan Tangani Wang Hantaran Tinggi

KUALA LUMPUR – Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) mengesa pihak berkuasa agama menangani amalan mengenakan hantaran perkahwinan yang tinggi dalam kalangan masyarakat Melayu negara ini.

Presiden Mapim, Mohd. Azmi Abdul Hamid berkata, perkara itu perlu diatasi untuk mengurangkan masalah individu tidak mampu berkahwin dan terpaksa hidup membujang segelintir masyarakat Melayu. "Wang hantaran tinggi menyebabkan banyak pasangan muda di negara ini terpaksa menangguhkan hasrat untuk mendirikan rumah tangga perlu dipandang serius kerana ia melibatkan keutuhan sosial masyarakat Islam sendiri.

"Isu ini bukan suatu isu baharu. Gejala bebanan kos perkahwinan yang tinggi sehingga mencecah puluhan ribu ringgit pernah diketengahkan.  Malangnya budaya tersebut masih berterusan diamalkan masyarakat Melayu," katanya melalui satu kenyataan media hari ini. Mohd. Azmi berkata, Islam mempertegaskan prinsip mempermudahkan dan tidak menyukarkan urusan perkahwinan maka kadar hantaran tinggi yang ditetapkan mengikut status keluarga, taraf pendidikan dan kecantikan bertentangan dengan ajaran Islam.

Beliau juga berkata, alasan bahawa kos majlis perkahwinan yang semakin meningkat dan terpaksa menjemput ramai saudara serta rakan tidak boleh menjustifikasikan tindakan mengenakan wang hantaran yang tinggi. Menurutnya, Islam tidak membebankan seseorang itu untuk melakukan sesuatu melebihi dari kemampuan apatah lagi terjebak dalam pembaziran.

Beliau turut mengingatkan banyak kes golongan muda terjebak dengan hutang bank kerana mahu memenuhi perbelanjaan perkahwinan yang tinggi semata-mata mahu menunjuk kepada masyarakat. "Jika tren ini berterusan, kami berpendapat sudah sampai masa kerajaan mencari jalan tidak membiarkan gejala ini daripada berterusan yang akhirnya boleh memberi kesan buruk kepada masyarakat Melayu," katanya Beliau dalam pada itu percaya jika hantaran perkahwinan mencapai tahap yang boleh menjejaskan kesejahteraan hidup, maka Islam mempunyai hukum yang boleh menghalang hal tersebut daripada berlaku.

"Mengundang ribuan tetamu, mengadakan majlis di hotel mewah, kad jemputan yang mahal, persandingan mewah, upah fotografi dan pengacara, juadah makanan yang terlalu banyak adalah perbelanjaan sampingan yang tidak selari dengan ajaran Islam," katanya lagi.

kredit
 

©Copyright 2011 Kecoh Bebenor | TNB